sitikhalidah90@gmail.com
Projek perumahan terbengkalai, golongan
berpendapatan rendah, dan dilema golongan muda adalah satu rangkaian
masalah dalam pembangunan perumahan di
Malaysia. Bajet 2013 menunjukkan pola perubahan dalam menangani isu pemilikan
rumah. Bermula daripada pembentangan bajet 2008 kerajaan telah memperkenalkan
pelbagai cara bagi membantu rakyat memiliki rumah sendiri. Pembangunan
perumahan dilihat semakin meningkat selaras dengan intipati yang terdapat dalam
bajet terdahulu.
Persoalannya adakah bilangan tersebut dapat
memenuhi kemampuan kewangan rakyat pada masa ini? Kongres Kesatuan
Pekerja-Perkerja dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menyarankan agar kerajaan
menubuhkan jawatankuasa perumahan negara bagi menangani masalah ketidakmampuan
rakyat untuk memiliki rumah. Majoriti rakyat memberikan tindak balas yang
positif selepas berakhirnya pembentangan bajet 2013. Sepanjang tempoh
pelancaran program-program perumahan terdapat perubahan daripada segi sasaran
dan strategi. Tidak kurang juga dengan permintaan demi permintaan yang
dilakukan pelbagai pihak yang menuntut pembaikpulihan program yang dilancarkan.
CUEPACS umpamanya mengharapkan sistem permohonan perumahan kos rendah bagi
memastikan pembeli, hanya mereka yang tidak memiliki rumah dan berpendapatan
rendah.
Program Rakyat Disewa (PPR), PPR
Bersepadu, Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP), Perumahan Rakyat 1 Malaysia
(PR1MA) dan Cukai Keuntungan Harta Tanah ( CKHT) adalah salah satu bentuk program yang mampu
mengatasi masalah pemilikan rumah. Bajet 2013 mencatatkan sebanyak 1.9 billion
diperuntukkan untuk membina rumah bernilai RM 30 000 hingga RM 400 000 oleh
PR1MA, SPNB dan Jabatan Perumahan Negara. Hari ini permintaan begitu tinggi dan
mengatasi penawaran. Hasilnya pembentangan bajet pada kali ini kerajaan memberi
jaminan akan membina lebih banyak rumah untuk golongan berpendapatan rendah. Ketua
Ekskutif Mas Building Society Bhd (MBSB) Ahmad Zaini Othman berkata pendekatan
yang diketengahkan Perdana Menteri dalam bajet dilihat menyeluruh dan turut
merangsang sektor lain berkaitan seperti institusi kewangan dan penyeliaan
pembelian.
Program Skim Rumah Pertamaku melalui
Cagamas, kerajaan menawarkan jaminan ke atas bayaran pendahuluan sebanyak 10
peratus bagi harga di bawah 220 ribu ringgit. Skim ini diwujudkan khas bagi
golongan yang berpendapatan tiga ribu terutamanya golongan muda. Kebiasaanya
sebaik sahaja tamat pengajian di universiti mereka perlu menyelesaikan pinjaman
kewangan. Isu pembelian rumah mungkin perlu difikirkan sedalam-dalamnya sebelum
mengambil keputusan untuk membelinya.
Realitinya dengan trend harga rumah yang
semakin meningkat akan membataskan golongan ini untuk memiliki rumah sendiri.
Hal ini tidak termasuk hasrat untuk memiliki kenderaan sendiri dan berumah
tangga. Harga rumah yang meningkat dengan tidak munasabah terutama sekali di bandar
sejak kebelakangan ini menjadi kekangan kepada mereka yang berminat untuk
membeli rumah terutamanya golongan muda. Sebelum intipati bajet dibentangkan
baru-baru ini, Idris Haron Pengerusi Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB)
mengharapkan kerajaan dapat menyelesaikan masalah pemilikan rumah mampu milik
tanpa terikat dengan sistem birokrasi sehingga pemohon bosan dan akhirnya gagal
mendapatkan pinjaman. Golongan muda harus diberi insentif seperti Skim Rumah
Pertamaku katanya lagi.
Sehingga kini banyak aduan berkaitan
rumah terbengkalai berlaku. Perkara ini terjadi apabila pemaju gagal menyiapkan
sesuatu projek pada masa yang ditetapkan. Definisi terbengkalai yang
dimaksudkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) ialah
sesuatu projek perumahan telah terhenti selama enam bulan atau lebih secara
berterusan di luar tempoh Surat Perjanjian Jual Beli. Pembeli akan menanggung
beban hutang yang berganda apabila terpaksa membayar hutang pinjaman dan rumah
sewa pada masa yang sama. Perumahan terbengkalai juga mendatangkan risiko
kesihatan. Manakala pelabur, pemaju tanah dan pembeli sendiri akan takut
melabur dan membeli di negeri yang mempunyai banyak projek perumahan
terbengkalai.
Bajet kali ini sebanyak 100 juta ringgit telah
disalurkan bagi membiayai kos rumah terbengkalai. 30 projek rumah terbengkalai
telah dipilih bagi menyelesaikan kemelut ini. Insentif cukai kepada para
kontraktor penyelamat juga diperkenalkan bagi menggalakkan penyertaan mereka
dalam program ini. Sebelum ini, bajet terdahulu juga telah mewujudkan Program
Pemulihan Rumah Terbengkalai. Tahun 2012 mencatatkan,63 juta diperuntukkan bagi memulihkan 1270 unit rumah terbengkalai.
Golongan berpendapatan rendah
barangkali boleh menarik nafas lega apabila kerajaan mengumumkan akan membina 123 000 unit rumah
mampu milik di seluruh negara. Pengumuman ini sebenarnya telah membawa pelbagai
kesan dalam kehidupan mereka. Kos hidup yang semakin meningkat tidak
memungkinkan bagi mereka untuk memiliki
rumah sendiri. Apatah lagi bagi mereka yang sudah melepasi paras usia muda.
Mempunyai keluarga yang besar,
menanggung persekolahan anak-anak dan beban kerja adalah satu pakej yang
terpaksa ditanggung oleh kebanyakkan masyarakat pada hari ini. Kadangkala
sehingga usia yang sepatutnya mereka berehat di rumah diganti dengan bekerja di
pejabat kerana masih dibebani hutang.
Perubahan paling ketara dalam pembentangan bajet
kali ini adalah berkaitan dengan kenaikan kadar Cukai Keuntungan Harta Tanah
(CKHT) yang dapat mengurangkan aktiviti spekulasi hartanah. Sebelum ini bajet
perumahan hanya berkaitan bagaimana ingin memiliki rumah. CKHT adalah cukai
yang dikenakan atas keuntungan daripada pelupusan harta tanah. Maka wujud pro
dan kontra dalam isu ini. Walaupun rata-rata penganalisis bersetuju dengan
kenaikan CKHT kerana didakwa tidak menjejaskan industri dan hanya akan memberi
impak yang minima kepada spekulasi hartanah. Namun dikatakan CKHT juga
sebenarnya kurang memberi kesan dalam mengatasi spekulasi hartanah kerana
kenaikan hanya pada kadar 5 peratus berbanding kadar semasa.
Pengawalan harga rumah yang efektif diharap mampu mengubah situasi rakyat yang
tidak mampu untuk memiliki rumah. Negara maju yang diangankan mungkin akan
mengalami jalan yang sukar jika masalah dalaman tidak mampu diselesaikan dengan
baik. Walaupun negara maju sering dikaitkan dengan pelbagai masalah namun kita
boleh mengubah persepsi tersebut melalui perancangan yang teratur dan bersih. Segala
masalah dapat diselesaikan jika perancangan tersebut tidak dicemari dengan
konspirasi negatif.
Perubahan demi perubahan isu
perumahan dalam sejarah bajet negara membawa kebaikan kepada golongan sasaran.
Secara tidak langsung dapat meringankan beban mereka sebagai pengguna.
Kebiasaanya walaupun mereka bekerja dengan gaji empat angka, namun masih tidak
mampu membeli sebuah rumah. Menyewa rumah adalah inisiatif terbaik dan jalan
yang paling mudah untuk mencari tempat berteduh selepas usaha untuk membeli
rumah gagal. Selain itu apabila hasrat memiliki rumah tercapai, sebenarnya
dapat mengurangkan kos hidup yang semakin meningkat. Penjimatan dapat
dimaksimumkan dan pembaziran pula dapat diminimakan.
No comments:
Post a Comment