Di
sebalik pelbagai kejayaan negara yang diraih, sebahagian daripada kejayaan
tersebut adalah hasil usaha golongan yang dulunya sentiasa dipandang rendah dan
dipinggirkan. Namun, pada hari ini kebangkitan golongan wanita semakin
terserlah melalui penglibatan golongan tersebut dalam menceburi pelbagai
bidang. Jelasnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak telah menampakkan
keyakinan dan kepercayaan beliau terhadap wanita apabila beliau sendiri telah
menerajui Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).
Tan
Sri Dr Zeti Akhtar Aziz selaku gabenor Bank Negara Malaysia, telah disenaraikan
oleh majalah Global Finance sebagai Ahli Perbankan Pusat Terbaik Dunia. Beliau
antara enam ketua bank pusat yang mencapai mata ‘A’ dalam Kad Laporan Ahli
Perbankan Pusat yang diterbitkan oleh majalah itu. Ratu terjun negara,
Pandelela Rinong pula telah berjaya meraih pingat gangsa pada Sukan Olimpik
London Ogos lalu. Kejayaannya itu melayakkan Pandelela dipilih menjadi Ikon
Wanita Muda Cemerlang oleh KPWKM. Manakala, Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah
Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar menerima Global Empowerment Award
2012, Mei lalu kerana pembabitannya dalam Kesatuan Pandu Puteri dan Pengakap
Sedunia, selain gigih membantu pasangan yang tidak mempunyai anak menerusi
Yayasan Fertili Tunku Azizah (TAFF).
Berikut
adalah antara pencapaian wanita Malaysia di peringkat dunia pada tahun 2012
yang memperlihatkan kaum hawa pada era ini bukanlah hanya tahu duduk di rumah
dan goyang kaki sahaja malah mereka telah berusaha gigih agar kejayaan mereka
diiktiraf di peringkat global. Bagi menghargai prestasi cemerlang mereka,
kerajaan tidak pernah lupa untuk memberi ganjaran melalui bajet tahunan negara
kepada golongan wanita. Tidak terkecuali dalam Bajet 2013 pada 28 September
2012 yang lalu, tanpa memilih faktor gender, kebolehan dan kepakaran wanita dilihat
perlu diberi perhatian serius seiring dengan peranan kaum adam dalam
pembangunan negara.
Bekas
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul
Jalil berkata, “selama ini isu yang menyentuh golongan wanita seolah-olah
dipinggirkan, suara mereka tidak didengari sedangkan mereka adalah alat yang
amat penting untuk membangunankan negara dari segenap aspek”. Justeru, kerajaan
memberi peruntukan keseluruhan sebanyak RM 50 juta kepada golongan wanita pada
Bajet 2013 kali ini agar mereka dapat meningkatkan taraf hidup masing-masing
sekali gus memberi peluang kepada golongan tersebut melebarkan sayap dalam
bidang yang diminati.
Antara insentif yang diperoleh golongan wanita
dalam Bajet 2013 ini ialah Program Pengarah Wanita bagi melatih 500 wanita
sebagai ahli lembaga pengarah syarikat. Usaha ini dilaksanakan atas dasar
peningkatan keterlibatan kaum wanita dalam menyandang pelbagai jawatan tinggi
sama ada dalam sektor kerajaan atau swasta. Golongan ibu tunggal juga akan
diberi rangsangan melalui program Inkubator Keusahawanan Ibu Tunggal (I-KIT)
dengan memberi khidmat nasihat dan latihan kepada mereka dalam bidang
keusahawanan. Perdana Menteri turut memberitahu, Suruhanjaya Komunikasi dan
Multimedia Malaysia (SKMM) akan mengagihkan peruntukan berjumlah RM 50 juta
dalam bentuk geran RM 1,000 kepada 50 usahawan kecil terutamanya wanita untuk
meningkatkan jualan secara atas talian melalui Program Get Malaysian Business
Online (GMBO). Program ini dilihat dapat melahirkan usahawan-usahawan wanita
bekerja secara kreatif dan inovatif bagi membantu menambah pendapatan keluarga.
Dalam
pembentangan Bajet 2013 yang diadakan di Dewan Rakyat, Perdana Menteri turut
mengumumkan peruntukan sebanyak RM 25 juta untuk pemeriksaan mamogram secara
percuma kepada wanita berusia 40 tahun dan ke atas. Usaha ini dijangka dapat
memberi faedah kepada kira-kira 100,000 wanita. Ketua Pegawai Eksekutif
Persatuan Kebajikan Kanser Payudara Malaysia (BCWA), Ranjit Kaur, berkata
subsidi ini membantu menggalakkan wanita membuat pemeriksaan kesihatan,
khususnya golongan berpendapatan rendah dan berada di kawasan luar bandar. Pada
masa yang sama, program ini mampu mengurangkan kos ekonomi dan psikologi yang
bakal ditanggung oleh wanita sekiranya mereka dikesan positif menghidap barah
payudara melalui pengesahan awal.
“Memang
benar, wanita bukan sahaja penting dalam pembentukan keluarga bahagia malah
turut menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara,” mengimbas kembali
kata-kata Datuk Seri Najib Razak ketika membentangkan bajet untuk Pembangunan
Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Wanita sememangnya tidak boleh lari dari
tanggungjawab sebagai seorang isteri dan ibu, namun kaum hawa pada hari ini
sangat komited dalam membina kerjaya masing-masing. Oleh sebab itu, tidak
hairanlah terdapat beberapa tokoh wanita memegang jawatan penting seperti naib
canselor universiti awam, gabenor bank pusat dan ketua setiausaha atau ketua
pengarah di jabatan dan kementerian.
No comments:
Post a Comment