Tuesday, 4 December 2012

Cabaran Teknologi Terhadap Pembangunan Industri Media Dan Kerjaya Kewartawanan

nama: muslim
         nuur eemi
         khairul bariah.




Perkembangan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) yang semakin pesat telah membuka mata masyarakat untuk menerima perubahan dari tahap yang lama ke arah kemajuan semasa. Masyarakat kini dididik dan didedahkan dengan penggunaan teknologi  sejak dari kecil lagi. Generasi muda sekarang lebih mengenali peralatan teknologi berbanding dengan generasi terdahulu. Jika dahulu, hendak menyentuh komputer adalah sesuatu perkara yang mengerikan atau ‘tekno fobia’ kerana bimbang akan rosak. Namun demikian, berbeza dengan kanak-kanak zaman sekarang seawal usia lima tahun sudah berani bermain  dengan komputer, telefon, dan pelbagai peralatan teknologi lain. Perkembangan teknologi ICT juga telah mengubah langskap dalam pembangunan industri media dan dunia kewartawan daripada media bersifat tradisional kepada media berbentuk digital. Perkembangan ICT juga turut memberi pelbagai cabaran dalam dunia kewartawanan dalam proses penulisan dan pelaporan sesuatu berita.
            Menurut Datuk  Zainal  Arifin Mohamed Isa, Pengarang Urusan Kumpulan News Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP), media perlu berani menempuh cabaran teknologi moden jika mahu memantapkan lagi corak penulisan dalam kerjaya kewartawanan. Pembangunan industri media yang semakin meningkat naik telah menyebabkan pelbagai cabaran dalam menyebarkan maklumat atau berita kepada masyarakat. Metro merupakan tabloid yang semakin menonjol dengan terdapatnya laman web menerusi media baru. Sejumlah 414 000 pembaca yang mewakili 30.3 peratus daripada pembaca metro menerusi akhbar online di negara ini yang merupakan berita nombor satu di Malaysia. Oleh itu, cabaran semakin hebat dalam kerjaya kewartawanan kerana kebanyakan masyarakat Malaysia lebih gemar melayari internet bagi mendapatkan berita tentang isu semasa. Maka pelbagai saluran yang boleh digunakan untuk mendapatkan maklumat seperti akhbar online, blog, youtube, facebook dan pelbagai lagi. Menerusi media baru, masyarakat akan mendapat berita semasa dalam tempoh masa yang singkat dan senang diperoleh.
Masyarakat umum sebagai wartawan segera
            Namun  demikian, kebanyakan penulis blog adalah terdiri daripada golongan penulis yang tidak diiktiraf sebagai penulis yang berkaliber. Kesahihan maklumat yang disampaikan diragui kerana penulis itu tiada kredibiliti sebagai seorang penulis yang mempunyai kelayakan dalam bidang kewartawanan. Oleh itu, kerjaya kewartawanan akan tergugat akibat daripada  maklumat yang disebarkan akan mudah dimanipulasikan oleh blogger yang hanya mahu meluaskan karya penulisannya. Hal ini, boleh menyebabkan kredibiliti seorang wartawan diragui oleh masyarakat umum. Ini merupakan salah satu bentuk cabaran yang perlu dihadapi oleh para wartawan apabila berlaku transformasi pembangunan industri media.
            Penyebaran maklumat yang sah dan berteraskan  fakta adalah penting bagi seseorang wartawan yang mempunyai etika kewartawanan yang perlu dipatuhi. Penyebaran maklumat melalui media baru mempunyai risiko yang tinggi kerana khalayak pembaca yang terdiri daripada masyarakat pelbagai lapisan di seluruh  dunia. Oleh itu, maklumat yang disampaikan mestilah tepat dan telus agar tidak disalah tafsirkan oleh mana-mana pihak. Terdapatnya kemudahan internet tanpa sempadan telah mengubah sikap masyarakat dalam mendapatkan maklumat. Contohnya pada zaman dahulu, masyarakat mendapatkan maklumat melalui pembacaan buku, majalah, dan surat khabar, namun sekarang masyarakat hanya perlu melayari internet untuk mendapatkan tentang sesuatu maklumat.
            Masyarakat umum juga dikategorikan sebagai wartawan jika mereka berada di sesuatu kejadian yang membolehkan mereka memberi maklumat yang sah kepada pihak yang bertanggungjawab. Mereka ini juga boleh memuat turunkan maklumat yang dilihat ke dalam laman sosial seperti facebook, blog dan twitter. Secara tidak sengaja golongan ini dipanggil sebagai wartawan segera kerana mereka merupakan saksi terhadap kejadian yang dilaporkan dalam laman sosial mereka.   
Kepelbagaian maklumat.
            Perkembangan teknologi maklumat khususnya internet telah menyebabkan berlaku kepelbagaian maklumat yang amat pesat. Justeru itu, sebarang maklumat yang dikehendaki hanya perlu diakses menggunakan talian internet yang semakin meluas.Hal ini telah menyebabkan semua individu obses terhadap segala maklumat dan informasi yang dapat dicapai dalam masa yang singkat.
Dalam pembangunan media masa kini, penembusan internet merupakan cabaran utama dalam dunia kewartawanan. Jika dibandingkan pada masa dahulu, segala maklumat hanya boleh diperolehi dengan meneroka atau turun padang untuk mendapatkan sesuatu berita yang sahih. Namun demikian, pada arus pembangunan kini maklumat hanya boleh didapati melalui media alternatif yang merupakan medium penyebaran maklumat yang lebih pantas dan mudah diakses oleh pelbagai lapisan mayarakat akibat daripada ledakan ICT. Perkembangan  teknologi media baru yang bersifat dua hala terutama penggunaan blog dan akses kepada portal berita internet, telah membuka ruang kepada suara-suara  masyarakat untuk memberikan idea-idea alternatif dan kritikan terhadap sesuatu berita ataupun maklumat yang sebelum ini tidak mendapat liputan meluas dalam media cetak.  
Selain itu juga, perubahan  langskap kewartawanan akibat daripada perkembangan teknologi telah mewujudkan banyak kaedah baru dalam urusan berkomunikasi, perubahan ini telah  melahirkan cabaran besar daripada segi amalan menghormati nilai dan etika penting dalam bidang kewartawanan, yang telah dibina atas semangat cintakan kebenaran, kebebasan, profesionalisme dan tanggungjawab sosial.
Kebanyakan wartawan sering lupa bahawa  teknologi komunikasi moden pada hari ini mampu menyebarkan berita yang ditulis ke serata dunia tanpa mengenal sempadan negara yang mungkin berita yang ditulis turut mampu dibaca oleh masyarakat di tempat lain dengan bantuan internet. Oleh itu, penulisan mereka perlu mengambil kira bahawa walaupun ia hanya dimaksudkan bagi tujuan penyebaran dalam kalangan pembaca setempat atau di negara tertentu sahaja, tetapi ia akan tersebar ke seluruh dunia dan ada kemungkinan laporan mereka menyinggung perasaan sesetengah pihak.
Menurut Pengurus Besar Bernama Datuk Azman Ujang. “Kadangkala, apabila terlalu memikirkan dan memberi tumpuan terhadap kepentingan nasional, kita lupa bahawa orang di tempat lain juga dapat membaca apa yang kita tulis, dengan bantuan internet, walaupun tulisan itu dikhususkan bagi bacaan rakyat di negara kita. bagaimanapun, ada juga laporan yang sengaja ditulis untuk bacaan semua pihak dengan niat tidak baik dan melanggar  etika kewartawanan, terutama apabila ia dengan jelas tidak mengambil kira sensitiviti orang lain, contohnya penyiaran kartun tentang Nabi Muhammad SAW pada 2006 yang mencetuskan kemarahan umat Islam.
justeru itu, semua pengamal media khususnya para wartawan  mestilah  mengambil daya usaha untuk mempelajari tentang orang lain, terutama tentang agama dan budaya yang asing. Bagi mengelak daripada melaporkan atau menulis sesuatu berita  yang boleh mencetus kemarahan orang lain.

Cara baru penyebaran berita.
            Dalam dunia kewartawanan pada era globalisasai sekarang, dunia teknologi merupakan cabaran yang paling kuat dalam penyampaian berita. Dari segi maklumat, penyebaran berita pada masa kini menjadi satu fenomena baru bagi penggguna internet. Wujudnya laman sesawang, blog-blog dan juga pelbagai bahan penyebaran berita menjadikan dunia kewartawanan semakin mencabar.
Menurut Berita Mingguan bertarikh 6 Ogos 2006 menyiarkan mengenai fakta bilangan blogers. Seramai 70 juta orang blogers di seluruh dunia dan hanya 10 000 orang dari malaysia. Namun perkembangan dunia IT pada masa kini menjadikan ramai bilangan rakyat malaysia semakin ramai celik IT dan dua kali ganda bilangan blogers malaysia telah meningkat pada masa kini. Hal ini menjadikan wujudnya wartawan segera yang menjadi penyebar maklumat kepada masyarakat diseluruh dunia maya.
Kewujudan blog dan laman sesawang pada masa kini menjadikan penyebaran berita dan maklumat dapat disampaikan dengan cepat. Fenomena facebook dan twitter juga merupakan cara baru mereka menyampaikan  berita. Contohnya situasi kemalangan jalan raya yang berlaku disesebuah kawasan, berita mengenai kemalangan dan gambar-gambar mangsa kejadian dapat disebarkan keseluruh negara hanya dalam masa beberapa jam sahaja. Ini kerana wujudnya ‘wartawan segera’ yang menjadi penyampai berita mengenai kejadian tersebut. Dan berita tersebut dapat disampaikan ke seluruh negara melalui laman sosial tersebut.
Hal ini menjadikan satu cabaran dalam dunia kewartawanan, ini kerana segala maklumat dan berita dapat disebarkan oleh wartawan segera ini. Perkembangan teknologi yang semakin berkembang pesat menjadikan semakin ramai penyampai berita dan ianya menjadikan media lama semakin ketinggalan dan kurang mendapat sambutan kepada masyarakat.   
Lebih kreatif
             Kepelbagaian bahan teknologi menjadikan blogger lebih kreatif dalam penyampaian maklumat, hal ini dapat dilihat daripada cara mereka mengeksprimentasikan data dan maklumat yang diperoleh untuk disebarkan kepada umum. Contohnya melalui laman sesawang.
            Trend masyarakat pada hari ini ialah menggunakan laman sesawang untuk berhubung dengan masyarakat luar, contohnya dalam semua perkara termasuk menyampaikan berita dan maklumat terkini. Bagi sesetengah golongan celik IT, mereka menggunakan kecanggihan teknologi ini untuk berkongsi maklumat, pelbagai jenis maklumat dapat diakses  dengan hanya satu carian di internet.
            Dalam dunia hiburan, wujudnya pelbagai laman yang lebih kreatif untuk kemudahan pembaca bagi mendapatkan info tentang artis kesayangan mereka. Wujudnya portal hiburan seperti Gua.com, beautiful nara, blog Roti Kaya dan sebagainya, ia dapat menarik masyarakat untuk membaca dan mendapatkan maklumat dengan hasil kreativiti yang dilakukan dalam penyebaran maklumat.
             Selain daripada itu, kewujudan portal  berita online seperti Berita Harian.com dan juga bahan berita lain menjadikan pengguna lebih mudah untuk mendapatkan maklumat dengan cepat dan mudah. Kewujudan media baru menjadikan masyarakat lebih gemar menggunakan media alternatif ini berbanding dengan media tradisional yang semakin dilupakan. 

1 comment:

  1. Best Casino Near Bryson City, NC - MapyRO
    Find the 하남 출장안마 best and newest casino near Bryson City, 화성 출장마사지 NC. Mapy is one of 구미 출장마사지 the best 제주 출장마사지 casinos in Bryson City, 용인 출장마사지 NC.

    ReplyDelete