Wednesday, 5 December 2012

WARTAWAN PEMANGKIN PERUBAHAN



Oleh :   Nurul Nadia Rosli
            Afeef Afzaal Nuri
            Masitah Jaafar
            Siti Salihah Saidin

Wartawan merupakan nadi dalam dunia komunikasi dan media massa. Hampir semua maklumat yang disampaikan melalui penulisan untuk media cetak, elektronik ataupun online digaraf oleh wartawan. Kepesatan perkembangan teknologi komunikasi maklumat (ICT) membolehkan pengaliran maklumat dalam dunia tanpa sempadan, meletakkan peranan pembekal maklumat seperti golongan wartawan semakin kritikal. Sesungguhnya, kepesatan perkembangan media baru yang dibawa oleh internet memerlukan tenaga para wartawan yang terlatih bukan sahaja dari segi teori, prinsip, dan falsafah tetapi juga celik ilmu, budaya, politik, dan teknologi.
            Secara umumnya jika ditanya mengenai siapa wartawan, mungkin ramai yang akan menjawab wartawan adalah golongan penyampai ilmu dan maklumat melalui penulisan mereka. Malah tidak kurang juga yang akan mengatakan secara negatif bahawa wartawan adalah golongan yang suka menjaga tepi kain orang dan memutarbelitkan fakta untuk kepentingan satu-satu pihak.
            Wartawan merupakan golongan profesional yang berperanan yang cukup besar dalam konteks masyarakat pada masa kini. Antara lain peranan wartawan ialah untuk mempengaruhi pandangan atau sikap masyarakat melalui laporan atau tulisan. Oleh yang demikian, wartawan dianggap sebagai agen perubahan kepada masyarakat amnya. Di samping itu, wartawan juga mempunyai etika profesionalnya sebagai panduan dan peraturan dalam melaksanakan tugas sebagai seorang wartawan dengan penuh disiplin dan bertanggujawab dalam menyampaikan maklumat berita.
            Peranan wartawan sejak dahulu sampai sekarang tidak pernah lari dari objektif utama iaitu menyebarkan maklumat mendidik dan menyedarkan masyarakat serta mengenai apa yang sedang berlaku dalam Negara, dalam masa yang sama cuba untuk menjadi perantaraan bagi menyelesaikan apa juga kemelut yang melanda masyarakat dan Negara. Sebagai wartawan yang menjadi mata kepada masyarakat dan telinga kepada kerajaan, sudah pasti tidak boleh lari daripada perubahan yang berlaku. Oleh itu, tugas dan peranan wartawan pada hari ini sangat mencabar.
            Perkembangan teknologi komunikasi pada masa kini sangat cepat sehingga kejadian yang berlaku di luar Negara boleh akses dalam sekelip mata. Malah penciptaan media baharu, memperlihatkan perubahan keatas arus penyampaian maklumat yang ketara berlaku. Sebagai contoh generasi terdahulu lebih senang memilih media cetak berbanding generasi pada alaf ini lebih tertarik untuk memilih media baharu iaitu maklumat dalam talian atau online news.
Selain mempunyai tanggungjawab terhadap segala laporan yang dibuat, wartawan juga perlu mempunyai beberapa ciri yang membolehkannya bertugas dengan jujur, yakin, dan menjadikan tugasnya mudah serta berkesan. Ciri-ciri yang perlu ada pada setiap wartawan ialah perasaan ingin tahu yang hanya  bukan sahaja untuknya tetapi bagi pihak pembaca juga, mempunyai daya imaginasi untuk mengetahui apa yang pembaca inginkan, dan dedikasi iaitu berusaha sendiri untuk mendapatkan bahan yang tepat dan benar. Selain itu, wartawan juga perlu memiliki kebenaran iaitu tidak ada kompromi dalam laporan yang berdasarkan kebenaran, hubungan yang baik iaitu gemar mendekati semua peringkat manusia kerana semuanya sumber berita, berpengetahuan di mana seseorang wartawan haruslah mempunyai pengetahuan yang luas, up-to-date dengan segala perkembangan dan sanggup menambah ilmu, serta komunikasi di mana wartawan perlu bijak berkomunikasi dengan setiap golongan masyarakat.

Mendidik dan menyedarkan masyarakat dan pemerintah

            Pepatah Melayu ada menyebut “mata pena itu lebih tajam dari sebilah pedang” merujuk kepada ketajaman penulisan seseorang wartawan dalam mengkritik sesuatu isu dan seterusnya memberi impak kepada pembaca dan masyarakat secara umumnya. Peranan wartawan sejak dulu hingga sekarang tidak pernah lari dari matlamat utama iaitu menyebarkan maklumat mendidik dan menyedarkan masyarakat dan pemerintah mengenai apa yang berlaku serta menyelesaikan apa jua kemelut yang melanda masyarakat dan negara. Tugas wartawan ini juga boleh disamakan sebagai penyambung lidah antara kerajaan dan rakyat. Rintihan, keluhan, keresahan, kegembiraan, dan kebahagiaan rakyat dapat disampaikan kepada kerajaan melalui laporan wartawan. Para pemimpin pula tidak akan mampu secara bersendirian untuk melihat dan mendengar rintihan serta keluhan rakyat sekiranya tidak mendapat laporan daripada wartawan. Jadi, jelaslah di sini bahawa wartawan memainkan peranan yang cukup penting sebagai orang tengah atau penghubung antara masyarakat dengan pemerintah pada hari ini.
Wartawan sebagai pendidik dan pemimpin
            Wartawan juga berperanan sebagai pendidik, di mana maklumat dalam bentuk yang disebarkan oleh wartawan bukan sekadar maklumat biasa tetapi mengandungi pelbagai maklumat yang meliputi pelbagai subjek dari yang umum kepada yang lebih khusus serta spesifik yang mampu meningkatkan ilmu dan membuka minda masyarakat. Hal ini dapat dibuktikan melalui sesuatu penulisan yang ditulis atau dilaporkan oleh wartawan di dalam sesebuah majalah atau akhbar yang dapat menarik minat serta mendorong masyarakat untuk membaca dan membuka minda mereka terhadap sesuatu kes atau isu yang diketengahkan oleh wartawan. Selain itu, wartawan juga merupakan pemimpin masyarakat kerana mereka boleh mewujdkan sentimen, meraih simpati, serta merangsang tindakan di kalangan beribu-ribu malah berjuta-juta manusia di dunia ini. Ini adalah kerana masyarakat akan mudah percaya akan kesahihan bukti terhadap sesuatu isu atau masalah yang dilapor oleh wartawan. Contohnya dapat dilihat seperti program-program yang berunsurkan kemiskinan atau kesusahan hidup yang ditayang dan dilaporkan oleh wartawan di televisyen seperti program Bersamamu banyak mendorong mempengaruhi tindakan dan perubahan sikap masyarakat untuk turut menderma wang ringgit kepada golongan yang kurang bernasib baik.
Penghibur
            Selain daripada itu, wartawan juga berperanan selaku penghibur. Maklumat yang disampaikan melalui pelbagai saluran media dapat menghiburkan masyarakat. Berita-berita ringan dan rencana-rencana mengenai kisah hidup manusia, pemimpin negara dan masyarakat, golongan artis, jaguh negara, individu-individu yang unik dalam masyarakat, serta hal-hal kemanusiaan dan keajaiban dalam dunia ini semuanya memberi inspirasi, pengajaran, pedoman, dan hiburan kepada masyarakat.
Memujuk dan mempengaruhi rakyat
            Peranan yang dimainkan oleh kaum wartawan dalam memastikan maklumat yang diperolehi dapat disampaikan secara telus kepada khalayak umum. Bajet 2013 merupakan belanjawan kerajaan dalam membangunkan negara ini dan insentif yang bakal diterima oleh rakyat, yang demikian maklumat yang berkaitan dengan bajet mesti disampaikan dengan cepat agar tidak timbul persoalan dalam kalangan rakyat. Justeru, wartawan hendaklah memujuk atau mempengaruhi rakyat melalui berita atau rencana agar mereka yakin bahawa bajet yang dikeluarkan memberikan manfaat yang cukup besar kepada mereka. Seperti mana yang telah peneroka bagi menghargai sumbangan mereka terhadap negara yang berjumlah RM100.9 juta pada tahun lalu.
Menjadi telinga kepada pihak kerajaan dan rakyat
            Sebagai agen perubahan, wartawan perlu menjadi telinga di kedua-dua pihak iaitu di pihak kerajaan dan rakyat. Hal ini sangat penting dalam menyedarkan dan menyampaikan maklumat tentang tanggungjawab kerajaan kepada orang ramai dalam memastikan kabajikan rakyat terjamin. Ini termasuklah dalam pembangunan sosial, pendidikan, politik dan lain-lain lagi. Contoh peranan wartawan sebagai agen perubahan dalam bidang politik dalam negara ini, di mana wartawan berperanan untuk menimbulkan kesedaran dalam masyarakat berkaitan dengan politik dan membantu masyarakat untuk mengemaskini keadaan politik dari masa ke semasa. Golongan ini juga, bertindak menyampaikan maklumat pembangunan seperti mana yang berlaku di Johor iaitu pembangunan Iskandar Malaysia di Johor, di mana Iskandar Malaysia merupakan koridor pembangunan selatan Johor yang menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi Malaysia dan pembukaan ini telah menyebabkan 800,000 peluang pekerjaan kepada semua rakyat di Iskandar Malaysia telah dibuka. Di samping membuka pintu pelancongan yang baharu di Johor, ini sudah pasti dapat mengubah pandangan atau konsep masyarakat terhadap kerajaan melalui pembangunan telah dilaksanakan secara menyeluruh.
Pencetus idea, pemerhati dan pemikir
            Oleh yang demikian, wartawan dalam agen perubahan memikul tanggungjawab yang besar kepada masyarakat dalam memastikan maklumat berkaitan dengan pembangunan di negara ini mendapat semua orang tanpa mengira lapisan masyarakat dan latar belakang. Wartawan juga menjadi pencetus idea, pemerhati dan pemikir dalam meningkatkan ilmu pengetahuan khalayak dan membuka minda masyarakat tentang perubahan yang sedang berlaku masa sekarang. Dengan bantuan media baharu menjadikan maklumat yang disebarkan oleh wartawan semakin cepat medapat maklum balas daripada masyarakat tentang sesuatu isu yang terjadi. Hal ini terjadi disebabkan oleh, media sosial seperti facebook, twitter, blog, web dan sebagainya.
Mencorak pemikiran masyarakat  
Wartawan juga memainkan peranan yang cukup mencabar dalam mencorak pemikiran masyarakat pada masa kini iaitu cuba untuk membentuk masyarakat yang berfikiran yang positif atau membentuk masyarakat yang berfikiran negatif kepada masyarakat dan kerajaan. Kuasa penulisan wartawan cukup untuk memberi impak yang sangat besar kepada negara. Oleh itu, wartawan yang menjadi agen perubahan ini perlu tangkas dalam menghasilkan tulisan yang boleh menarik perhatian umum serta boleh mempengaruhi pemikiran masyarakat agar segala yang terjadi dapat diselesaikan dengan baik. Ini amat penting dalam memujuk hati rakyat agar menerima perubahan yang cuba dibawa oleh pihak kerajaan demi kebaikan bersama.
Pencetus pemikiran kritis
            Pada hari ini ,wartawan menjadi pencetus pemikiran kritis dalam acuan minda masyarakat. Banyak penulisan berita menjadi rujukan kepada perubahan yang berlaku. Sebagai contoh wartawan menjadi telinga kepada pihak kerajaan untuk mengetahui permasalahan yang timbul dalam masyarakat, dengan berita yang diterbitkan dapatlah pihak yang bertanggungjawab memikul tanggungjawab untuk menyelesaikan masalah itu dengan cepat. Seperti mana, wartawan liputan TV3 iaitu Karam Singh Walia banyak ketengahkan berita pembangunan sosial dalam masyarakat yang mana lebih kepada alam sekitar. Adanya berita permasalahan ini dikeluarkan maka tindakan susulan akan diambil oleh pihak berwajib. Ini jelas menunjukan bahawa sejak dari dahulu lagi wartawan banyak membantu dalam membangunkan negara melalui laporan dan maklumat yang mereka sampaikan.
Meningkatkan ilmu pengetahuan masyarakat melalui penulisan
            Dalam masa yang sama, wartawan juga menjadi pemangkin dalam meningkatkan ilmu pengetahuan kepada masyarakat melalui penulisan. Antaranya pengetahuan am, pengetahuan kesihatan, pengetahuan teknologi moden, pengetahuan akademik pelajar dan lain-lain dalam surat khabar atau rencana yang telah dihasilkan oleh wartawan. Mungkin kadang-kadang berita yang dihasilkan  dimasukan dalam blog atau web tertentu. Sebagai contoh stesen tv, rancangan pertandingan mengeja di TV3 yang bercorak pendidikan iaitu “Spell It Right”.
            Hal ini jelas menunjukkan bahawa wartawan memainkan peranan yang penting dalam pembinaan masyarakat. Dalam aspek ini wartawan bertindak sebagai agen sosialisasi masyarakat dan sudah pasti peranannya amat mustahak. Ini kerana kewartawanan menyumbang kepada pelbagai impak dalam proses perubahan gaya hidup masyarakat daripada pelbagai lapisan. Mesej yang dibawa oleh wartawan mampu menyentuh perasaan dan mempengaruhi pemikiran serta mencorakkan sikap tertentu sesetengah masyarakat. Selain itu, wartawan juga mempunyai peranan yang amat penting dalam mewujudkan sebuah masyarakat yang harmoni dan negara yang cemerlang. Pihak pengamal media, organisasi yang bertanggungjawab serta pengguna media massa yang semakin hari semakin bertambah perlu sama-sama menilai dan mengkritik dalam usaha menambah nilai untuk kebaikan, bukannya mengkritik untuk meruntuhkan. Mesej yang disampaikan bukan hanya sekadar makluman untuk tatapan, bahkan mesejnya mampu mengubah persepsi dan sikap masyarakat terhadap sesuatu.

  

No comments:

Post a Comment