Saturday 20 October 2012

Bajet 2013: RTC Rungkai Keluhan Rakyat




Bajet 2013: RTC Rungkai Keluhan Rakyat
  Oleh: Masitah binti Jaafar
 s205028@student.uum.edu.my      

 Bajet 2013 tidak lari dari matlamat membantu rakyat menjalani kehidupan yang lebih baik iaitu tidak ada golongan atau pihak yang dipinggirkan. Dengan erti kata lain Bajet 2013 boleh diklasifikasikan sebagai Bajet Mesra Rakyat. Bertepatan dengan gagasan 1 Malaysia iaitu ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’ jika diteliti banyak program dan inisiatif dijalankan pihak kerajaan sebelum ini adalah untuk rakyat. Bajet 2013 bertujuan untuk menyatupadukan rakyat Malaysia tanpa pergolakan atau demonstrasi dalam menghadapi cabaran- cabaran yang akan datang. Sebagai sebuah kerajaan yang prihatin kesejahteraan rakyat terus diberi perhatian. Rentetan program berteraskan rakyat sebelum ini seperti Bantuan Rakyat 1 Malaysia ( BR1M), Klinik 1 Malaysia, Kedai rakyat 1 Malaysia, dan yang terbaru adalah Kedai Buku 1 Malaysia. Jika dilihat, program sebegini secara keseluruhannya bagi memastikan hidup rakyat tidak dibebani dengan kos hidup yang tinggi dan bagi memastikan rakyat hidup dengan lebih selesa.

RAKYAT NIKMATI KEMAJUAN
            Selain itu, kita juga dapat melihat Program Transformasi Komuniti telah diperkenalkan bagi memberi perkhidmatan secara langsung kepada rakyat diperingkat akar umbi dan membolehkan semua rakyat menikmati kemajuan negara sepenuhnya. Ia merangkumi dua inisiatif iaitu Pusat Transformasi Bandar ( UTP) dan Pusat Transformasi Luar Bandar ( RTC). Namun dalam penulisan ini saya ingin memfokuskan terhadap Pusat Transformasi Luar Bandar ( RTC). RTC bertujuan untuk membawa pembangunan ekonomi kepada masyarakat Luar Bandar serta sebagai pusat yang menyediakan pelbagai perkhidmatan kerajaan dan swasta. Kesemua ini dapat menunjukkan komitmen kerajaan dalam membantu rakyat dalam semua peringkat. Hal ini jika dilihat sebelum ini kerajaan telah melancarkan Program Transformasi Luar Bandar. Namun, pada pembentangan Bajet 2013 yang lalu ternyata masih ada peruntukan panambahbaikan untuk komuniti Luar Bandar.

MEMBENTUK PUSAT INTEGRASI
 Bagi tujuan Program Transformasi Luar Bandar kerajaan telah membuka pula Pusat Transformasi Luar Bandar atau RTC di Gopeng, Perak dan Wakaf Che Yeh, Kelantan bagi menyediakan sebuah pusat integrasi perkhidmatan meliputi pengumpulan, pemprosesan, dan pengedaran hasil pengeluaran pertanian, perbankan dan insurans, khidmat nasihat perniagaan, latihan dan kemahiran. Justeru itu, berdasarkan manfaat yang diterima kerajaan terus memperluaskan RTC ke Melaka, Johor, Pahang, Sabah, dan Sarawak. Taraf Medan Info Desa ( MID) juga dinaik taraf sebagai Mini- RTC. Medan Info Desa yang kita sedia maklum merupakan entiti fizikal yang dilengkapi dengan prasarana ICT yang terletak dalam kawasan desa. Selain terus menjadi fokus pertemuan fizikal setempat, menerusi penggunaan ICT, MID juga akan menjadi pemangkin bagi merapatkan jurang digital dikawasan desa di samping berfungsi sebagai latihan dan pusat pertemuan interaksi maya dikalangan masyarakat desa. Selain itu MID turut menjadi pemangkin kepada keusahawanan masyarakat luar bandar.

MENINGKATKAN PENDAPATAN RAKYAT
Walaupun pelbagai kemajuan telah dinikmati oleh penduduk Luar Bandar tidak dinafikan bahawa masih terdapat mereka yang hidup susah kerana memperolehi pendapatan yang rendah. Oleh itu melalui RTP pembangunan insfrastruktur dan pembangunan ekonomi Luar Bandar dapat ditingkatkan. Jika dibandingkan dengan Bajet 2012 RTP menerima peruntukan sebanyak 5 bilion bagi memperkukuh pembangunan insfrastruktur asas luar Bandar merangkumi program jalan luar bandar dan projek perhubungan desa, memperluas bekalan air bersih dan bekalan elektrik di Sabah dan Sarawak dan mempertingkat perkhidmatan pengangkutan awam di luar Bandar. Namun pada Bajet 2013 kita dapat lihat perubahan yang lebih baik terhadap peruntukan untuk komuniti luar Bandar. Kawasan Luar Bandar terus terus dibangunkan bagi mengurangkan jurang pembangunan Bandar dan Luar Bandar. 4.5 billion ringgit disediakan bagi melaksanakan projek pembangunan pada tahun 2013.

MEMENUHI PERMINTAAN RAKYAT
Rentetan itu, program pembangunan Luar Bandar merangkumi pembinaan jalan Luar Bandar dan jalan perhubungan desa serta projek insfrastruktur utiliti Luar Bandar. Bagi program desa pula ia merangkumi menaik taraf kilang pemprosesan hasil laut dan makanan, pembinaan jeti baru, pembinaan pusat pemasaran dan menambahbaik pakej aktiviti homestay. Oleh itu bajet pada kali ini merupakan bajet yang memenuhi permintaan rakyat Luar Bandar. Ia merupakan bajet yang mengukur keupayaan negara dan bukannya hanya mahu meraih undi semata- mata meskipun pilihan raya umum semakin hampir. Bajet ini juga menunjukkan kerajaan yang konsisten kerana daripada bajet yang sebelumnya pihak kerajaan sentiasa meletakkan keutamaan kepada masyarakat Luar Bandar. Tambahan pula, Bajet 2013 ini dilihat sangat menyentuh keperluan masyarakat Luar Bandar dan merupakan bajet tanggungjawab pihak kerajaan.

KEMUDAHAN DAN BANTUAN KEWANGAN
Modal kerja dan wang adalah halangan utama bagi orang-orang di kawasan luar bandar untuk menceburi, atau menjadi lebih aktif dalam bidang keusahawanan. Oleh itu, RTC akan cuba membantu mereka dengan menyediakan pelbagai kemudahan melalui kementerian kewangan. Ia juga telah mengambil inisiatif untuk menyediakan skim pinjaman kredit mikro kepada orang-orang di sekeliling RTC. Skim, yang menawarkan kadar faedah yang rendah, bertujuan membantu usahawan luar bandar untuk menjalankan perniagaan mereka dengan lebih berkesan. Antara kemudahan pinjaman yang disediakan di RTC adalah skim pembiayaan ekonomi luar bandar oleh kementerian pembangunan luar bandar dan wilayah, skim kredit mikro oleh Bank Simpanan Nasional, Agro Bank, TEKUN Nasional, SME Bank, MARA, Amanah Ikhtiar Malaysia dan sebagainya. Akhirnya, untuk melengkapkan bantuan kepada penduduk luar bandar, RTC juga mempromosikan kerjasama universiti dengan pendidikan tinggi kementerian yang diamanahkan dengan mengetuai inisiatif untuk bekerjasama dengan universiti untuk menggalakkan kesukarelawanan pelajar dan program pemindahan pengetahuan.

MENINGKATKAN KUALITI KEHIDUPAN
Ada yang berpendapat Bajet 2013 bakal  menyaksikan penerusan  dasar afirmatif yang telah perkenalkan sejak tiga tahun lepas untuk terus meningkatkan kualiti kehidupan rakyat Malaysia. Ini termasuklah rumah mampu milik, pengangkutan awam yang lebih baik,keselamatan awam, kemudahan pendidikan dan latihan, peluang perniagaan dan pelaburan yang lebih meluas. Walaupun sesetengah pihak lebih cenderung melabelkan Belanjawan 2013 sebagai "belanjawan pilihan raya" jangan lupa memperbaiki kehidupan rakyat telah menjadi seruan lantang Datuk Seri Najib sejak mengambil alih kepimpinan negara pada April 2009. ‘ Memakmur Negara, Mensejahtera Rakyat : Sebuah Janji Ditepati’ merupakan falsafah belanjawan 2013 yang melangkaui pilihan raya umum. Sebaliknya ia bersedia kearah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk kesejahteraan rakyat seperti meringankan kos hidup, memperbaiki penjagaan kesihatan, memajukan modal insan dan mengembangkan insfrastruktur asas di kawasan- kawasan kurang membangun terutamanya di Sabah dan Sarawak.

KEBAJIKAN DIUTAMAKAN
Tuntasnya, Bajet 2013 yang memfokuskan Luar Bandar ini adalah bajet yang realistik dan memberi kebajikan kepada semua lapisan masyarakat. Ia boleh dianggap bajet dari rakyat kepada rakyat. Dengan pelbagai kemudahan yang boleh didapati di RTC, orang-orang di kawasan luar bandar adalah digalakkan untuk membuat penggunaan optimum daripada apa yang boleh didapati dan lebih dekat kepada mereka. RTC mencerminkan harapan kerajaan untuk rakyat di kawasan luar bandar untuk menjadi sebuah masyarakat yang berdaya maju dan berdaya saing mampu meningkatkan kualiti dan kuantiti produk mereka. Pemberian dan insentif terbabit bukanlah satu langkah populis tetapi ia merupakan pengagihan kekayaan untuk dinikmati oleh semua lapisan masyarakat. Malah seperti yang diungkapkan Najib ia boleh dianggap sebagai manifesto sebuah kerajaan bertanggungjawab dan mampu mengurus kewangan negara dengan berhemah.
Bangunan RTC Melaka di Kuala Linggi yang dipenuhi penduduk


No comments:

Post a Comment