Saturday 13 October 2012

PKU pemangkin warga Universiti

Oleh  Mohd Muslim Bin Mad Daud
          Nuur Eemi Binti Mohamed
          Khairul Bariah Binti Mohamad





Pusat Kesihatan Universiti, Universiti Utara Malaysia (PKU UUM) merupakan pusat kesihatan yang menyediakan khidmat rawatan kepada mahasiswa, staf, dan masyarakat sekitar sejajar dengan misinya iaitu menjadi pusat kecemerlangan perkhidmatan kesihatan untuk melahirkan warga yang sihat secara keseluruhan melalui perkhidmatan kesihatan yang komprehensif dan berkualiti. PKU yang dahulunya dikenali sebagai Pusat Kesihatan Pelajar, (PKP) mula beroperasi pada tahun 1986 di kampus sementara di Tanah Merah Bandar Darul Aman Jitra, Kedah.  Selepas 4 tahun berkhidmat di kampus sementara, PKP turut berpindah selari dengan kampus barunya di Sintok. PKU merupakan pusat kesihatan universiti yang pertama menggunakan sistem klinik berkomputer atau dikenali sebagai CLIMAS hasil dari kerjasama dengan pusat komputer UUM yang  bertujuan untuk mempercepatkan proses merawat pesakit. Sistem ini melibatkan keseluruhan perkhidmatan perubatan dari masa pendaftaran sehingga pesakit mendapat rawatan. Sistem ini telah mendapat pengiktirafan apabila memenangi anugerah Asia Pacific Multimedia Information Technology and Communication Awards pada Mac 2001.  
           Menurut Penolong Pengarah PKU UUM Encik Hazizi Haron, sistem pengurusan PKU terbahagi kepada empat unit iaitu unit kecemasan dan kemalangan, unit pesakit luar, unit farmasi, dan unit pergigian. Setiap unit ini mengamalkan dasar 5S yang menyebabkan perkhidmatan lebih sistematik dan teratur dalam menjalankan tugas dalam kalangan staf PKU.  Unit kecemasan dan kemalangan diwujudkan untuk mengendalikan kes-kes yang memerlukan rawatan dan perhatian segera petugas perubatan.  Ia tidak hanya terhad kepada  kes kemalangan kecemasan seperti serangan jantung, asthma yang teruk, pengsan dan sebagainya.
            Unit pesakit luar pula menyediakan perkhidmatan rawatan primer kepada pesakit. Perkhidmatan yang disediakan meliputi rawatan perubatan, rawatan susulan bagi penyakit kronik seperti kencing manis dan darah tinggi, khidmat nasihat dan kaunseling serta membuat rujukan kepada hospital kerajaan dan swasta bagi kes-kes yang memerlukan rawatan susulan dan rawatan pakar.
            Manakala unit farmasi bertanggungjawab dalam membekalkan dan  menyediakan ubat kepada unit pesakit luar. Ubat-ubatan yang disediakan oleh PKU UUM adalah yang terbaik dan memilih jenis-jenis ubat untuk pesakit dibuat secara teliti serta mengambil kira pelbagai aspek termasuk kecekapan dan keberkesanan dalam tren rawatan  terkini yang diguna pakai oleh pihak hospital kerajaan dan swasta. Selain itu unit farmasi juga cuba menjana kewangan untuk universiti melalui bekalan ubat-ubatan peti kecemasan, penjualan vitamin, makanan tambahan, peralatan perubatan, barangan penjagaan kesihatan dan pergigian menerusi sub-unit Farmasi Satelitnya. Sambutan yang diterima amat menggalakkan kerana harga yang ditawarkan amat berpatutan dengan kos ubat-ubatan yang dijual di luar kampus. 
            Unit pergigian adalah satu bahagian kecil di PKU UUM, namun begitu fungsinya amatlah besar dalam menawarkan perkhidmatan rawatan pergigian kepada warga UUM. Antara perkhidmatan yang disediakan  ialah pemeriksaan, cabutan, tampalan, cucian, membuat gigi palsu dan khidmat nasihat. Pelajar dan staf yang ingin mendapatkan rawatan di sini perlu mendapatkan temujanji terlebih dahulu kerana bilangan pesakit yang dapat dirawat setiap hari adalah terhad. Unit ini juga menyediakan perkhidmatan sampingan seperti rawatan pendakap gigi “braces”   yang menawarkan kos rawatan yang minima kepada pelajar dan staf bagi menjana sumber ekonomi universiti.
            Bahagian kesihatan umum berperanan dalam pencegahan dan pengawalan penyakit yang terdiri daripada empat sub-unit, iaitu unit kawalan vektor (UKV), unit kawalan mutu makanan (UKMM), unit kawalan penyakit berjangkit, dan unit pendidikan kesihatan.  Unit kawalan vektor berperanan untuk mencegah dan mengawal penyakit bawaan vektor seperti demam denggi dan denggi berdarah dengan usahasama hospital Kerajaan untuk mengadakan semburan fogging bagi mengurangkan pembiakan nyamuk di sekitar kampus UUM.
            Untuk meningkatkan nilai dan mutu perkhidmatan, PKU juga berkerjasaman dengan unit PKU seluruh IPT untuk mengadakan mesyuarat dan perjumpaan pengarah dan ketua-ketua jabatan. Selain daripada mesyuarat pengurusan, ia juga banyak membincangkan mengenai mutu dan kenaikan taraf perkhidmatan kepada pelanggan juga bertukar-tukar idea dalam pelaksanaan pengurusan perkhidmatan tersebut. Perjumpaan pengarah-pengarah PKU ini dilakukan secara bergilir-gilir di setiap PKU universiti.
            Dari segi  pembagunan pengurusan, PKU UUM telah banyak mencipta sistem baru untuk memudahkan pesakit, antaranya ialah sistem CLIMAS, pelbagai servis tambahan seperti suntikan pencegah kanser servik dan sebagainya. Peningkatan mutu perkhidmatan PKU UUM dapat dilihat apabila  unit X-ray  memperkenalkan sistem dalam bentuk digital, ia mula digunakan untuk pelajar semester satu sesi 2012/2013. Perkhidmatan ini berjaya dilaksanakan untuk memudahkan kerja dan menjimatakan masa rawatan.
            Pelbagai lagi perkhidmatan yang dinaik taraf untuk kemudahan pelajar dan staf universiti. Ianya bukan sahaja penjana kewangan universiti, tetapi memberi kemudahan kepada pelajar dan staf untuk mendapatkan rawatan  dengan mudah dan cepat.

1 comment: