Monday, 22 October 2012

BAJET 2013 PERIHATIN TERHADAP WARGA EMAS




 
Oleh : Nor Azura Binti Awi
azura_awi@yahoo.com

 
Warga emas merupakan aset yang amat penting kepada negara memandangkan mereka memiliki ilmu, pengalaman dan kepakaran yang tidak mudah dicari ganti. Di Malaysia, warga emas ditakrifkan sebagai mereka yang berumur 60 tahun keatas dan  menurut perangkaan seramai 2.2 juta orang  atau 7.7 peratus daripada 28.3 juta penduduk Malaysia adalah terdiri daripada warga emas. Sejajar dengan itu, dalam Bajet 2013 yang bersifat mesra warga emas kerajaan telah mengumumkan beberapa perkara untuk memberi manfaat kepada warga emas. Keprihatinan kerajaan yang tidak pernah melupakan warga emas boleh dilihat  menerusi pemberian bantuan dan insentif semasa membentang Bajet 2013 yang lalu.
 
Program Kebajikan Rakyat Satu Malaysia (KARISMA)
Bajet 2013 yang telah diumunkan oleh Perdana Menteri kita baru-baru ini ada menyentuh mengenai peruntukan kerajaan dalam memberi bantuan kebajikan kepada warga emas yang miskin dan tinggal bersendirian meneruskan kelangsungan hidup. Keperihatinan ini terbukti melalui  Program Kebajikan Rakyat Satu Malaysia atau lebih sinonim denagan nama  KAR1SMA yang  merupakan skim bantuan kebajikan yang terbesar pada tahun 2011, melibatkan perbelanjaan sebanyak RM478 juta bagi membantu seramai 135,217 orang warga emas di seluruh negara. Ini merupakan 35.3 peratus daripada keseluruhan bantuan kebajikan (berjumlah RM1.353 bilion) berbanding dengan 28.4 peratus pada tahun 2010. Bagi tahun 2012, peruntukan kewangan sebanyak RM496 juta disediakan bagi memberi manfaat kepada 150,000 orang warga emas miskin.
 
Bagi bajet 2013 kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM 1.2 billion bagi program bantuan KARISMA kepada warga emas, bantuan kanak-kanak , elaun pekerja OKU serta penyakit kronik. Peruntukan bajet KARISMA bukan sahaja memberi kemudahan serta bantuan semata-mata tetapi dari mata kaca yang lain ia dilihat sebagai  satu inisiatif kerajaan untuk menghargai warga emas yang sudah banyak menabur bakti kepada negara. 
Pengurangan caj bayaran pemprosesan pasport
            Keperihatinan kerajaan terhadap warga emas juga dapat dilihat dalam bajet 2013  ialah pengurangan caj bayaran pemprosesan pasport sebanyak 50 peratus iaitu daripada RM300 kepada RM150 untuk tempoh sah laku 5 tahun. Malah, caj bayaran pengurusan pasport untuk tempoh 2 tahun pula dikurangkan kepada RM80. Kadar bayaran baru ini akan berkuat kuasa pada bulan Januari 2013. Keperihatinan terhadap warga emas sejajar dengan objektif “ kerajaan ini adalah kerajaan rakyat, dari rakyat untuk rakyat” yang diutarakan oleh Datuk Seri Najib Razak semasa membentangkan bajet 2013 jumaat baru-baru ini. Pastinya pengurangan caj bayaran pemprosesan passport dapat pengurangkan beban dan memudahkan urusan warga emas serta pada masa yang sama menjadikan mereka warga yang proaktif.
 
Bantuan Rakyat 1Malaysia
            Satu lagi bukti keperihatinan kerajaan terhadap warga emas melalui Bajet 2013 ialah meneruskan Bantuan Rakyat 1Malaysia atau BR1M 2.0 pada tahun 2013. Menerusi bantuan ini, sebahagian besar daripada pesara kerajaan dan swasta serta warga emas yang berpendapatan bulanan RM3,000 ke bawah akan sekali lagi menikmati RM500 secara one-off daripada kerajaan.Peruntukan bantuan ini adalah  sebagai usaha meningkatkan kualiti hidup golongan berpendapatan rendah dan memastikan tiada kelompok rakyat termasuk warga emas tercicir daripada menikmati faedah pembangunan dan kemakmuran negara. Secara tidak langsung pemberian bantuan ini dapat memperbaiki kehidupan warga emas yang kurang bernasib baik terutamanya mereka yang hidup sebatang kara tanpa keluarga.



 
Peruntukan RM12.5 bilion membiayai pemberian ganjaran atau saraan kepada pesara kerajaan
Melalui bajet 2013, kerajaan akan  membelanjakan sejumlah RM12.5 bilion bagi membiayai pemberian ganjaran atau saraan kepada pesara kerajaan. Ini termasuk menyelaras semula pencen pesara kerajaan yang telah berkhidmat sekurang-kurangnya 25 tahun dengan menaikkan pencen minimum daripada RM720 kepada RM820 sebulan. Pelarasan pencen dibuat dengan mengambil kira bayaran pencen bermula 1 Januari 2012. Langkah ini akan memberi manfaat kepada seramai 56,000 orang pesara kerajaan, termasuk penerima pencen terbitan, dengan peruntukan tambahan sebanyak RM60 juta setahun.       
            Penyelarasan dan menaikkan pencen kepada pesara yang kebanyakkannya terdiri daripada kelompok warga emas akan memberi manfaat yang begitu besar kerana ia membantu meningkatkan taraf hidup selepas tempoh persaraan dan menjamin masa depan hari tua. Malahan peningkatan wang pencen sedikit sebanyak dapat membantu golongan warga emas dalam menanggung kos seharian seperti kos perubatan dan sebagainya.
 
               Bersesuaian dengan tema Bajet 2013 yang digubal dengan fokus untuk meningkatkan taraf hidup rakyat di seluruh negara. Pastinya peruntukkan yang diberikan akan memberikan seribu manfaat kepada warga emas. Bajet 2013 dirangka bertemakan “Memakmur Negara, Mensejahtera Rakyat : Sebuah Janji Ditepati ” menunjukkan kerajaan terus komited dalam menjaga kebajikan dan terus menghargai warga emas yang sememangnya banyak menabur jasa kepada pembangunan negara kita. Paling utama, Malaysia dijangka mencapai status negara tua pada tahun 2030 apabila 15 peratus daripada jumlah penduduk merupakan warga emas, jadi peruntukan bajet untuk warga emas adalah bertepatan bagi melahirkan warga emas yang produktif.

 



No comments:

Post a Comment