LKangkung@yahoo.com
Bajet 2013 yang
dibentangkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak di
Parlimen pada 29 September 2012 yang lalu dikatakan lebih kepada mesra rakyat
dan pengagihan yang sekata. Bajet kali ini lebih menjurus ke arah memakmur
negara, mensejahtera rakyat iaitu sebuah janji ditepati. Terdapat beberapa
fokus utama kerajaan terhadap bajet pada kali ini iaitu merangsang aktiviti
pelaburan, memperkasa pendidikan dan latihan, membudayakan inovasi meningkat
produktiviti, konsolidasi fiskal dan mempercekap penyampaian perkhidmatan awam,
serta mensejahterakan rakyat. Bagi merealisasikan matlamat ini, bidang kesihatan
juga turut diketengahkan oleh kerajaan. Dalam merancakkan pembangunan negara,
kesihatan rakyat juga perlu diutamakan bagi menghasilkan modal insan yang berkualiti
kepada negara pada masa hadapan. Kerajaan akan terus memastikan rakyat dapat menikmati
perkhidmatan kesihatan yang memuaskan. Bagi tahun 2013, kerajaan memperuntukkan
sebanyak 19.3 bilion ringgit untuk perkhidmatan mengurus dan pembangunan.
Klinik 1 Malaysia
Dalam bajet 2013 ini, kerajaan telah
memperuntukkan sebanyak RM 20 Juta bagi pembukaan klinik 1 Malaysia untuk
meningkatkan tahap kesihatan rakyat di negara ini. Pembukaan klinik 1 Malaysia
telah mendapat sambutan baik dan memberi manfaat dalam meringankan kos rawatan
selain memudahkan akses bagi mendapatkan rawatan. Klinik 1 Malaysia yang
diperkenalkan pada tahun lalu memberi satu persepsi yang positif dalam kalangan
rakyat Malaysia. Dengan berbekalkan hanya RM1 sahaja, rakyat boleh menikmati
rawatan pesakit luar dan RM5 bagi rawatan pakar di dalam kejiranan mereka. Ini
sekaligus dapat membantu rakyat yang sukar menerima rawatan di
hospital-hospital kerajaan kerana terpaksa berdepan dengan karenah birokrasi
dan masa menunggu yang terlalu lama. Dengan pembukaan klinik 1 Malaysia ini,
rakyat dapat menikmati kemudahan perkhidmatan klinik swasta pada harga klinik
kerajaan. Hal ini dapat mengurangkan kos rakyat yang berpendapatan rendah untuk
terus menikmati perkhidmatan kesihatan yang ditawarkan di setiap klinik
1Malaysia. Bagi meluaskan capaian terhadap klinik ini, 70 unit klinik baru akan
dibuka di seluruh negara yang difokuskan di kawasan-kawasan strategik bandar.
Selain itu juga, peningkatan perkhidmatan di klinik 1 Malaysia dengan
memperkenalkan perkhidmatan pemeriksaan darah dan air kencing kepada seluruh
lapisan rakyat.
Membaik pulih klinik kesihatan
Bajet 2013 juga
turut menghidupkan klinik kesihatan yang telah sedia ada di mana kerajaan telah
memperuntukkan sebanyak RM100 Juta untuk proses membaik pulih klinik kesihatan
dengan membaik pulih klinik-klinik usang yang telah sedia ada pada hari ini.
Kedaifan klinik kesihatan dan klinik desa telah mendapat perhatian di mana
rata-rata tahap keselamatan tidak selari dengan penambahbaikan tahap kesihatan
rakyat. Jika dipantau dengan lebih teliti, ada di antara klinik kesihatan ini
sudah tidak mampu untuk menyokong pertambahan bilangan pesakit yang menggunakan
kemudahan ini. Diharapkan melalui penjenamaan baru klinik kesihatan ini dapat
mengembalikan fungsi dan tumpuan umum rakyat terhadap klinik ini. Ini sedikit
sebanyak dapat membantu meningkatkan tahap kesihatan rakyat terutama golongan
yang kurang berkemampuan.
Menambah
mesin dialisis
Seterusnya,
bajet 2013 ini terus diperhebatkan melalui usaha kerajaan yang akan menambah
sebanyak 150 mesin dialysis di pusat hemodialisis kerajaan di seluruh negara. Mesin-mesin
dialysis ini sangat berguna kepada pesakit-pesakit buah pinggang. Pada hari
ini, jumlah pesakit buah pinggang semakin bertambah tidak mengira usia atau
bangsa. Hospital biasa semakin tidak mampu untuk menampung jumlah pesakit yang
semakin meningkat dari semasa ke semasa. Kegagalan buah pinggang adalah kesan daripada
kurangnya penjagaan kesihatan di kalangan rakyat, yang mana apabila telah
dikesan, ianya telah terlambat dan mencapai tahap merbahaya. Kos pembelian
mesin dialisis yang tinggi menyebabkan hospital tidak mampu menyediakan mesin
rawatan yang mencukupi. Melaui inisiatif kerajaan ini, sekurang-kurangnya dapat
membantu pesakit ini untuk meneruskan rawatan bagi menikmati kualiti hidup yang
sempurna.
Pemeriksaan
percuma ujian mamogram
Bajet untuk
kesihatan 2013 terus dibentangkan bagi menyediakan pemeriksaan percuma ujian mamogram
kepada golongan wanita untuk membuat pemeriksaan barah payudara. Melalui usaha
ini, seramai 100,000 wanita akan mendapat manfaatnya. Barah payudara adalah
antara pembunuh utama wanita selepas barah pangkal rahim. Kurangnya kesedaran
dan pengetahuan memeriksa sendiri menyebabkan wanita tidak mempedulikan
sebarang ketumbuhan yang terdapat dalam payudara mereka. Dengan adanya
pemeriksaan mamogram oleh doctor pakar sakit puan, barah atau kanser ini dapat
dikesan pada peringkat awal dan mampu menyelamatkan nyawa wanita. Hal ini
adalah penting bagi semua kaum wanita untuk mencegahnya dari awal kerana
golongan wanita merupakan aset atau tunjang di dalam sesebuah keluarga. Wanita
perlu memiliki kesihatan yang baik bagi memastikan mereka dapat menjalankan
tugas dan tanggungjawab yang besar di dalam keluarga.
Bajet
2013 ini jelas menunjukkan usaha pihak kerajaan dalam mensejahterakan rakyat
kerana melalui perancangan yang dibuat, semua rakyat dapat menikmati hasil dan
kemudahannya tidak mengira bangsa, agama mahupun peringkat usia. Bak kata
pepatah, “mencegah lebih baik dari merawat” bermaksud kita perlu mencegah
sesuatu penyakit itu terlebih dahulu sebelum ianya merebak dan parah yang akan
menyukarkan untuk kita mendapat penawarnya. Hal ini sejajar dengan usaha
kerajaan melalui bajet kesihatan ini yang membantu golongan sederhana untuk
terus menikmati kemudahan kesihatan yang ditawarkan di hospital-hospital
kerajaan yang sama dengan perkhidmatan kesihatan yang ditawarkan di
klinik-klinik swasta pada hari ini.
Klinik 1 Malaysia membantu rakyat menikmati kemudahan kesihatan seperti di klinik swasta |
No comments:
Post a Comment